Food labelling and imported food in Malay
Label Makanan Yang Menyatakan Negara Asalnya dan makanan import
Peraturan melabel makanan import telah diubah untuk memudahkan pengguna mengetahui negara asal makanan itu. Makanan import dikelaskan sebagai makanan yang tidak ditanam, dihasilkan, dibuat atau dibungkuskan di Australia.
Perubahan ini bermaksud bahawa banyak antara makanan yang dijual di pasar raya dan kedai di Australia mesti memaparkan label baru yang jelas menyatakan negara asalnya.
Piawaian Maklumat pada Label Makanan Yang Menyatakan Negara Asalnya (“Piawaian Maklumat”)
Jika anda membekalkan makanan untuk jualan runcit di Australia, maka undang-undang baru yang mewajibkan negara asalnya dinyatakan pada label makanan itu dikenakan terhadap produk tersebut menurut Piawaian Maklumat.
Piawaian Maklumat merangkumi:
- makanan yang dijual secara runcit di Australia (contohnya makanan yang dijual kepada orang awam di kedai atau di pasar, ataupun melalui mesin layan diri)
- makanan berbungkus yang dijual oleh pemborong
- banyak jenis makanan yang tidak berbungkus.
Apa yang telah berubah?
Perubahan utama adalah bahawa kebanyakan makanan import yang berbungkus kini diwajibkan memaparkan pernyataan negara asal di dalam sebuah petak yang jelas pada label.
Contoh:
(Dibuat dari Amerika Syarikat)
Tempoh peralihan
Piawaian Maklumat bermula pada 1 Julai 2016 dan diberi tempoh peralihan selama dua tahun. Sepanjang tempoh peralihan ini, syarikat-syarikat (termasuklah pengimport) boleh sama ada:
- terus melabel produk mereka menurut syarat-syarat melabel yang dikenakan sekarang, sebagaimana yang dinyatakan di dalam Peraturan Piawaian Makanan bagi Australia dan New Zealand (Peraturan Piawaian Makanan); atau
- mengikuti syarat-syarat baru melabel yang dikenakan oleh Piawaian Maklumat.
Apabila tempoh peralihan ini berakhir pada 1 Julai 2018, makanan yang memasuki Australia mesti dilabelkan mengikut syarat-syarat Piawaian Maklumat. Jika tidak, denda akan dikenakan. Walau bagaimanapun, stok dagangan (produk makanan yang telah dibungkuskan dan dilabelkan menurut Peraturan Piawaian Makanan pada atau sebelum 30 Jun 2018) masih boleh dijual tanpa label yang baru ini.
Cara memohon label
Untuk menepati syarat-syarat baru ini, anda boleh sama ada:
- mengimport produk makanan yang sudah ada label yang diwajibkan ini; ataupun
- meminda label supaya menepati syarat apabila produk itu sampai di Australia
Label bagi makanan import tidak dibenarkan menggunakan lambang kanggaru kerana makanan itu tidak dibuat, ditanam, ataupun dihasilkan di Australia.
Walaupun tidak diwajibkan, jika produk yang anda jual itu dibuat dan dibungkuskan di luar negeri tetapi mengandungi ramuan dari Australia, anda boleh menggunakan carta palang untuk menunjukkannya. Alat pelabel makanan dalam talian yang menyatakan negara asal boleh menolong anda memilih label yang betul jika produk yang anda jual itu mengandungi ramuan dari Australia.
Jika dakwaan tidak dapat dibuat bahawa sesuatu makanan import itu telah ditanam, dihasilkan, atau dibuat di satu negara asing sahaja, maka makanan itu mestilah memaparkan pernyataan bahawa makanan itu telah ‘dibungkuskan di’ dan bukannya ‘dibuat di’. Pernyataan ini mesti diletakkan di dalam sebuah petak yang jelas, kecuali makanan import itu bukan makanan keutamaan (lihat di bawah ini untuk mengetahui makanan mana yang terjejas). Ini bermakna bahawa label itu mesti menyatakan negara makanan itu dibungkuskan dan bahawa makanan itu berasal dari beberapa tempat, ataupun dibuat dengan ramuan import (contohnya, Ramuan import yang dibungkuskan di Brazil).
Sila baca ruangan Soal jawab untuk pengimport yang disediakan untuk pengimport makanan jika anda ingin mengetahui contoh-contoh lain menggunakan label baru ini pada produk makanan anda.
Perubahan ini tidak akan mengubah tajuk tarif produk anda.
Makanan yang terjejas
Semua jenis makanan, selain yang bukan makanan keutamaan, mesti memaparkan label baru ini.
Makanan selain makanan keutamaan pula tetap diwajibkan memaparkan penyataan tentang negara asal tetapi pernyataan itu tidak perlu diletakkan di dalam petak yang jelas.
Makanan selain makanan keutamaan ialah:
- perasa
- kudapan manis
- biskut dan makanan ringan
- air botol
- minuman sukan dan minuman ringan
- teh dan kopi
- minuman keras.